Monday 25 March 2013

Iklim dan Cuaca



Perth mengalami iklim Mediteranian. Ia bermakna sepanjang tahun secara amnya, cuaca panas dan baik. Pada waktu musim sejuk, masih boleh menikmati cahaya matahari walaupun hanya seketika pada waktu siang.


Jadi ketika anda bersiap-siap hendak mengunjungi Perth, ada baiknya anda ketahui suhu, cuaca dan musim yang dialami ketika tarikh lawatan anda.

Musim Bunga

Bermula pada 1hb September dan berakhir pada penghujung bulan November.  Ketika ini cuaca cerah dan suhu tidak berapa panas terutama dalam bulan Oktober-November. Cuaca amat baik dan hujan adakalanya turun tetapi amat jarang sekali. Kadangkala hampir tiada langsung.

Suhu secara amnya :


Bulan

Suhu waktu siang

Suhu waktu malam

September

18-21̊ C

9-12̊ C

Oktober

21-24̊C

9-12̊ C

November

24-27̊C

12-15̊C








Musim Panas

Bermula pada 1hb Disember dan berakhir pada penghujung bulan Febuari. Cuaca panas bertambah terik berlaku dalam bulan Januari-Febuari. Ketika itu cuaca amat terik dan udara sangat kering. Hujan kadangkala turun. Walau bagaimana pun, Perth  mengalami tiupan angin dari arah barat laut atau dari arah selatan yang dikenali dengan nama “Fremantle Doctor” membantu menurunkan suhu.

 Suhu secara amnya :


Bulan

Suhu waktu siang

Suhu waktu malam

Disember

27-30̊ C

15-18̊ C

Januari

30-33̊C

18-21̊ C

Febuari

30-33̊C

18-21̊C







Musim Luruh

Bermula pada 1hb Mac sehingga penghujung bulan Mei. Musim luruh di Perth tidak seperti musimluruh di kebanyakkan negara yang pernah kita lihat. Ia seolah-olah kesinambungan musim panas atau boleh juga dikatakan sebagai musim bunga yang kedua. Pada waktu siang agak panas tetapi menjelang malam suhu agak sejuk. Cuaca cerah di siang hari boleh menjadi terik dan kadangkala hujan turun.

Suhu secara amnya :


Bulan

Suhu waktu siang

Suhu waktu malam

Mac

27-30̊ C

15-18̊ C

April

24-27̊C

12-15̊C

Mei

21-24̊C

9-12̊C










Musim Sejuk

Bermula pada 1hb Jun dan berakhir pada penghujung bulan Ogos. Hujan boleh dikatakan hampir setiap hari. Cahaya matahari kadangkala boleh dinikmati beberapa hari. Siang hari amat sejuk walaupun tiada hujan. Ribut petir dan hujan air batu kadangkala turut berlaku.

Suhu secara amnya :


Bulan

Suhu waktu siang

Suhu waktu malam

Jun

18-21̊ C

9-12̊ C

Julai

15-18̊C

6-9̊C

Ogos

18-21̊C

9-12̊C

# Sumber dari www.perthtouristcentre.com.au






Perth pernah merekodkan suhu paling panas yang pada 23 Febuari 1991. Suhunya menjangkau 46.2̊C!

Pengalaman saya sepanjang berulang alik dari Kuala Lumpur – Perth adalah ketika musim panas kadangkala boleh menjangkau 40̊C. Cuaca sangat terik dan perlu minum air sepanjang masa bagi mengelakkan kehilangan air dari badan. Kulit akan menjadi sangat kering. Lebih baik berada di dalam rumah daripada berada di luar. Walau bagaimanapun, kebanyakkan aktiviti berlaku ketika musim ini. Pada ketika ini jika akan ingin berenang di laut perlu berhati-hati kerana musim panas ini banyak ikan jerung!

Musim bunga adalah musim yang paling saya suka. Selain daripada melihat bunga-bunga yang mula berkembang, suasana sejuk dan cahaya matahari yang sentiasa memancar tetapi tidak terik, sangat menyeronokkan. Musim ini adalah waktu yang paling sesuai mengunjungi Perth.

Bagi saya musim sejuk ada pro dan kontranya. Cuaca sejuk dengan suasana yang begitu kelabu amat merimaskan. Hampir setiap hari hujan amat menyukarkan pergerakan. Walau bagaimana pun, ada seronoknya berada di musim ini ketika bulan puasa. Bersahur agak lambat dan berbuka agak awal dengan cuaca yang sejuk, begitu memudahkan saya menjalani ibadah berpuasa.

Musim luruh pula saya boleh katakan seperti berada di tanah air. Cuaca panas, bunga-bunga masih berkembang dan aktiviti-aktiviti luar masih boleh dijalankan seperti biasa walaupun kadangkala hujan turun. Boleh juga melawat Perth pada bulan ini kerana walaupun cuaca panas pada sebelah siang tetapi malam agak sejuk. Jadi pastikan sekiranya anda tiba di Perth pada musim ini, sehelai baju sejuk ada di dalam bagasi anda.

Tips kembara Perth :

1)    Pastikan anda membawa losyen pelembab walaupun ketika musim sejuk. (Anda pasti akan mandi air panas bukan? Sudah tentu kulit akan kering.)

       2)    Bawa losyen pelembab bibir.

      3)    Jika anda tiba pada musim sejuk, bawalah tuala sekurang-kurangnya dua helai (jika anda tidak menggunakan tuala hotel). Suhu yang lembab dengan pancaran matahari yang kurang melambatkan tuala untuk kering. Tuala atau baju yang dipakai ketika lembab boleh mengakibatkan penyakit.

     4)    Jika anda berenang di laut ketika musim panas, pastikan anda sentiasa berwaspada dengan suasana sekeliling anda. Jika terdapat helikopter berlegar-legar di bahagian pantai, selalunya mereka mengawasi pergerakan ikan jerung. Jika ikan jerung terlalu hampir dengan pantai, semboyan akan dibunyikan dan anda perlu keluar dari kawasan air secepat mungkin. (Saya menulis berdasarkan pengalaman!)

       5)    Jika ini pengalaman pertama anak anda (bawah umur 9 tahun) melancong ke luar negara, pastikan anda mengawasi tahap kesihatan mereka. Kadangkala secara tiba-tiba mereka boleh mendapat demam. (Terutama anak-anak yang mengalami masalah asthma).

      6)    Pada musim bunga, jika anda mengunjungi pesta bunga yang selalunya diadakan pada setiap tahun, hati-hati dengan “sang lebah” yang selalu berada di dalam bunga yang mekar berkembang.


Sunday 24 March 2013

Pengangkutan awam di Terminal Antarabangsa Perth


Selamat datang ke Perth!




              Pengangkutan dari Terminal Antarabangsa Perth boleh dipilih sama ada menaiki bas atau teksi. Tidak ada pengangkutan keretapi dari sini.




              Jika anda ingin menaiki bas, sebaik keluar dari pintu ketibaan Terminal Antarabangsa Perth, di bahagian kiri anda ada kaunter “Perth Airport Shuttle – CONNECT”. Anda hanya perlu beritahu destinasi penginapan anda kepada petugas kaunter. Petugas itu akan beritahu samaada mereka akan melalui destinasi anda atau tidak. Jika lokasi penginapan anda terletak di bandar Perth, sudah pasti mereka akan menghantar anda sehingga ke hadapan hotel. Jika tidak, mereka akan menghantar anda ke stesen bas dan keretapi Wellington atau Esplanade. Jadi pastikan di mana lokasi penginapan anda.



               Tiket bas hanya $18.00 jika hotel anda berada di sekitar bandar Perth. Pemandu bas akan memeriksa tiket anda sebelum beg anda dimasukkan ke bahagian tempat simpanan beg iaitu sebuah treler kecil yang ditaut di belakang bas. Ketika anda tiba di destinasi, pastikan anda mengambil beg yang tersimpan di treler kecil itu. Ada kejadian di mana pemandu terlupa mengeluarkan beg dan pemilik beg juga terlupa tentang beg mereka.




           Pemandu bas akan mengambil penumpang di Terminal Dalam Negeri yang berada lebih kurang 10 minit pemanduan dari Terminal Antarabangsa sebelum menghantar penumpang ke lokasi masing-masing. Jika anda menaiki bas sekitar jam 4:00 petang, anda mungkin akan tiba di lokasi penginapan anda sekitar jam 6:00 petang kerana jalanraya agak sesak di waktu begini.








            Jika anda ingin menaiki teksi, sebaik sahaja keluar dari pintu ketibaan Terminal Antarabangsa Perth, anda perlu berjalan ke arah kiri. Lebih kurang 100 meter dari situ terdapat banyak teksi yang sedang menunggu. Jika kumpulan anda melebihi dari 10 orang, anda boleh meminta petugas yang berada di situ untuk dapatkan teksi van. Tambang teksi dari Perth ke lokasi hotel anda sudah tentu berlainan dari satu tempat ke satu tempat. Saya perlu membayar tambang teksi sekitar harga $38.00-$42.00 dari Terminal Antarabangsa Perth ke rumah di South Perth. Tambang teksi berdasarkan laluan perjalanan samaada melalui laluan lebuhraya atau jalan biasa. Lebuhraya di sini tiada tol. Faktor seperti kemalangan, pembaikian jalan, kebakaran hutan dan kesesakkan jalanraya tanpa sebab, menyumbang kepada harga tambang teksi.



Friday 22 March 2013

Kad Informasi, Kastam dan Imigresen


Perjalanan dari Lapangan Terbang Tambang Murah Sepang ke Perth mengambil masa lebih kurang 5 jam 30 minit. Sebaik saja pesawat berada di awan, anda akan diberi sekeping kad. Kad ini perlu diisi bagi memberi informasi kepada pegawai di kaunter kastam dan imigresen sebaik tiba di Terminal Antarabangsa Perth.


             Anda perlu menjawab setiap soalan yang diberi. Sila pastikan anda gunakan pen bermata bola berwarna hitam atau biru. Antara soalan yang tercatat pada kad tersebut adalah alamat penginapan dan nombor telefon anda sewaktu berada di Perth. Anda juga akan ditanya berapa banyak wang yang dibawa dan juga tentang barang makanan.

               Pegawai kastam dan imigresen di Terminal Antarabangsa Perth amat tegas dalam  setiap barang yang dibawa masuk ke negara mereka. Terutama sekali barang makanan dan cenderahati. Jika anda ada membawa barang makanan kering seperti maggi, ubat-ubatan dan susu formula bayi, anda perlu beritahu kepada pegawai kastam dan imigresen yang bertugas. Selalunya tiga soalan ini pasti akan ditanya. Jadi jangan cuba sembunyikan daripada mereka. Jika ditangkap, anda akan didenda atau terus dihantar pulang.



                Jika didalam pesawat, anda ada membeli minuman seperti teh ataupun milo/nescafe, selalunya ia akan diberi dalam bentuk uncang teh ataupun dalam peket sachet. Jika ada baki uncang teh atau peket sachet yang tidak digunakan dan anda turut membawanya bersama anda, anda perlu beritahu kepada pegawai tersebut.



             Pengalaman keluarga sahabat warga Malaysia dan juga merupakan penduduk tetap Perth, menjadi pengajaran kepada saya. Hanya kerana beberapa peket sachet nescafe dan gula yang berbaki sewaktu dibeli di atas pesawat, mereka telah didenda hampir AUD200.00. Jadi sebelum terkena, lebih baik beritahu dahulu.




              Jika anda mempunyai penyakit diabetes, asthma atau penyakit lain yang memerlukan anda membawa ubat-ubatan, anda perlu dapatkan surat dari doktor anda di Malaysia. Pegawai yang bertugas pasti meminta surat tersebut bagi mendapatkan pengesahan. Jika tidak, ubat-ubatan anda pasti akan terus dibuang ke dalam tong sampah.

           Apabila telah selamat mendarat, pastikan setiap barang yang dimiliki ada bersama anda kecuali beg yang disimpan di perut pesawat. Beg yang disimpan di perut pesawat hanya boleh diambil sebaik saja paspot anda telah dicop oleh pegawai imigresen yang bertugas di kaunter imigresen.

          Kaunter imigresen terletak di bahagian bawah Terminal Antarabangsa Perth iaitu selepas kedai “duty free”. Pastikan lorong yang betul bagi pemegang paspot antarabangsa melainkan jika ada petugas yang membuka lorong ekspres kerana adakalanya kawasan itu penuh sesak dengan pelancong dari dalam dan luar negara.

          Adakalanya ketika berada di lorong beratur menunggu giliran menuju ke kaunter imigresen, seorang pegawai bersama dengan seekor anjing pengesan, akan melalui lorong tersebut. Pastikan anak-anak anda tidak panik kerana itu hanya akan menarik perhatian anjing tersebut. Tetapi perkara ini jarang berlaku.

             Bagi pelancong yang pertama kali menjejakkan kaki di Perth, pegawai bertugas di kaunter akan pastikan anda keluarkan paspot anda dari sarungnya. Selagi anda tidak menanggalkan sarung paspot anda, mereka tidak akan cop paspot tersebut. Melainkan jika anda tidak faham bahasa Inggeris dengan baik, pegawai yang bertugas akan melakukannya bagi pihak anda. Serahkan paspot anda bersama dengan kad informasi yang diisi di dalam pesawat tadi kepada pegawai tersebut.

           Beberapa soalan akan ditanya oleh pegawai yang bertugas di kaunter ini. Antara soalannya adalah adakah wang yang anda bawa melebihi dari AUD10,000.00? Adakah anda mempunyai saudara mara di sini? Jawablah dengan baik setiap soalan yang diajukan. Sekiranya anda datang bersama keluarga, kesemua keluarga anda perlu berada di kaunter imigresen bersama-sama anda. Pegawai imigresen ini akan mencatatkan perkataan berbentuk kod yang hanya difahami oleh mereka di atas kad informasi tadi.

              Sebaik semua paspot telah dicop, anda boleh simpan paspot anda di dalam beg tetapi kad informasi itu perlu dipegang untuk diserahkan kepada pegawai kastam di pintu keluar pula. Ketika ini anda perlu berjalan menuju ke bahagian pengambilan beg. Anda mungkin akan disapa oleh beberapa pegawai kastam yang berdiri berhampiran dengan tempat pengambilan beg tersebut. Mereka akan bertanyakan beberapa lagi soalan. Adakalanya soalan yang sama di tanya seperti pegawai yang bertugas di kaunter. Mereka juga akan meminta anda tunjukkan kad informasi kepada mereka tetapi pastikan anda dapatkan kembali kad tersebut kerana hanya pegawai yang berada di pintu keluar saja yang akan menyimpannya.

               Ketika ini pastikan semua beg milik anda bersama anda. Anda akan bertemu dengan pegawai kastam yang lain pula. Pegawai ini akan menentukan sama ada beg-beg yang dibawa perlu di periksa atau tidak berdasarkan kod catatan diatas kad informasi anda. Jika anda bernasib baik, pegawai tersebut akan mengarahkan anda ke pintu keluar. Jika tidak ini bermakna beg-beg anda akan diperiksa satu persatu.

Tips ketika berada di kaunter kastam dan imigresen :

   1)    Pastikan paspot dan kad informasi bersama anda.
   2)    Pastikan kad informasi telah diisi dengan betul dan di tandatangani.
   3)    Jawab setiap soalan yang diaju oleh pegawai imigresen dengan tenang.
   4)    Pastikan anda dan anak-anak tidak panik ketika anjing pengesan melalui lorong beratur ke kaunter imigresen.
   5)    Pastikan surat doktor ada bersama anda jika anda membawa ubat-ubatan dari Malaysia. (Lebih mudah jika anda bawa preskripsi ubat anda kerana boleh dibeli di farmasi di sini.  Harganya agak berpatutan.)
   6)    Tidak perlu membawa barang makanan kering kerana banyak restoran dan kedai runcit yang menjual makanan halal di sini.
   7)    Tidak perlu ambil baki uncang teh atau peket sachet yang tidak diguna dari dalam          pesawat.
  8)     Hanya 2 kotak rokok saja yang boleh di bawa bersama anda dari Malaysia. (Efektif 1 September 2012)